Sponsored Link

Monday, July 18, 2011

Salam Nisfu Syaaban 1432/July 2011


Assalamualaikum...

Sabtu yang lalu malamnya ada malam nisfu syaaban, ya salam nisfu syaaban pada para pembaca semua.

Apakah yang dimaksudkan dengan nisfu syaaban sebenarnya, apa hukumya, apakah amalan-amalan yang digalakkan atau dilarang.

Ini saya kongsikan serba sedikit beberapa artikel yang saya jumpa ^__^...ya agak lewat di sharekan, ada sebabnya...:)...

Artikel Pertama: Kata-kata dari Ustaz Rahim Nasir:


Masa begitu pantas berlalu.Sya’ban pula telah melabuhkan suku tirainya.Ini bermakna BULAN RAMADHAN semakin hampir.Namun begitu..marilah kita menjenguk sejenak tentang Nisfu Sya’ban yang masih menjadi kesamaran bagi sesetengah masyarakat kita pada hari ini.
Menjadi kelaziman bagi sebahagian penduduk Malaysia dan nusantara sekitarnya melakukan ibadat khusus pada malam tersebut.Antaranya membaca surah Yasin secara beramai-ramai sebanyak 3x.Surau dan Masjid pasti akan dilimpahi jamaah pada malam tersebut.Sekali sekala nampak meriah juga.Tapi kalau setiap malam berduyun-duyun jamaah yang datang…alangkah meriahnya!!!!
Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban saja, tidak pada hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertaqwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan itu.
Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].
Jadi..marilah kita mengambil kesempatan khususnya pada malam tersebut untuk membanyakkan amalan.Bertahajjud,membaca Al Quran,berzikir,memberi sedekah dan sebagainya.Sebenarnya kita digalakkan berdoa apa sahaja pada perkara-perkara yang baik pada malam tersebut.
Adapun amalan membaca Yasin sebanyak 3x pada malam tersebut sebenarnya adalah TIDAK WARID ( tiada sandaran  ) dari Al Quran dan Hadis Nabi SAW.Namun…tidak salah kita nak membaca Yasin pada malam tersebut.Yang salahnya ialah kefahaman sebahagian orang melayu yang meletakkan kepercayaan bahawa MESTI BACA YASIN 3x.Itulah yang salah.
Adalah lebih baik kita membaca Yasin 1x secara bertenang-tenang beserta dengan kuliah ” APA ITU NISFU SYA’BAN “…Rasanya itu lebih baik daripada membaca Yasin 3x dalam keadaan kelam kabut dan tunggang langgang,melanggar segala hukum tajwid dan berkejar-kejar antara makmum dan imam.
Ayuh..!!!! pilihan ada di tangan anda.Marilah kita sama-sama memperbaiki kepincangan budaya dikalangan orang melayu supaya amalan yang kita buat secara berterusan,ada sandaran yang jelas dan tepat.Bukan hanya dengan mengikut membuta tuli tanpa ilmu yang sewajarnya.

Artikel ke dua: Fadhilat Bulan Syaaban


Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Ada yang berpendapat, ini kerana pada ketika itu, bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di padang pasir. Ada pula yang berpendapat ia membawa maksud pemisah kerana Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”
Nisfu Syaaban

Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”
Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib.
  • Bacaan pertama diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya.
  • Bacaan kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
  • Kemudian bacaan ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
Namun jangan lupa agar kita membaca dengan penuh tenang dan tidak terkejar-kejar.
Pada malam Nisfu Syaaban, telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:
“Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.” (Al-Hadis)

Puasa Sunat di bulan Syaaban

Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan Syaaban.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)
1 hari berpuasa di bulan Syaaban akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga, dan diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.
Sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut, dilepaskan kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.
Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis di dalam Syaaban, dimasukkannya dalam syurga. (Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah)

Doa, Zikir & Selawat ke atas Rasulullah s.a.w

Bulan ini juga kita digalakkan untuk membanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Bertaubat

Sangat digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)

Artikel ke tiga: Kelebihan puasa Syaaban & malam Nisfu Syaaban

oleh : Ustaz Halim INIJALANKU 
 
Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

(Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra.  berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).

Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).
Akhirnya nanti, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang Syar’iyy, merupakan salah satu taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) dan bukan bid’ah.

Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.

Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.

Penulis: Oleh itu, penulis berharap agar kita semua dapat bersama-sama memperbanyakkan amalan yang baik ini di bulan Syaaban sebelum menjelang bulan Ramadhan ini. Ya sebagai persediaan menyambut Ramadhan. Dan banyak fadhilat dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita di bulan yang mana pun, yang penting kita sebagai hamba sentiasa cuba memperbaiki diri, insyaAllah :).

Renung-renungkan dan Selamat beramal semua :)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih, Thank You, Syukran, Arigato, Shieh Shieh, Rumba Nandri, Kamsahamnida: Komen anda sangat dialu-alukan dan dihargai :)

My Babbling

Advice (27) Akhlak (40) Al-Quran (24) Allah (19) Awal Muharam (9) Belief (14) Books (41) Brain Food (16) Characteristics (29) Critical Thinking (26) Dakwah (88) Death (20) Dialogues (19) Doa (17) Dua' (14) Education (53) Family (34) Father (11) Friendship (30) Hadith (20) Health (56) Jokes (87) Knowledge (76) Life (90) Love (77) Lyrics (127) Man (33) Marriage (67) Motherhood (11) Motivation (76) My Reading (42) My Stories (222) Parents (13) Personality (19) Poem (45) Prayer (15) Prophet Muhammad s.a.w (15) Qoutes (79) Ramadhan (14) Real Life Story (15) Relationship (23) Religion (46) Sarcasm (18) Sarcastic (14) Short Story (76) Song (27) Tarbiyah (119) Tazkirah (108) Think out of the box (22) Where To Eat (7) Where to Go (3) Woman (56) Words (34) Work (14)